
SABAK BERNAM, 27 Januari -Hibrid baharu nanas MARDI, MS16, berpotensi untuk dikomersialkan dan menembusi pasaran antarabangsa, kata pengusaha nanas tempatan, Rosdin Napiah, 58, yang lebih dikenali sebagai Pak Din Nanas.
- MS16 mudah ditanam, memerlukan baja minima dan kurang serangan penyakit, menjimatkan kos pengurusan ladang.
- Buah MS16 manis, rangup, beraroma dan tahan lama, sesuai untuk pasaran segar dan produk terproses.
- Hibrid ini berpotensi dikomersialkan dan menyokong kepelbagaian genetik serta toleransi terhadap reput teras bakteria.
Pengusaha nanas dari Sabak Bernam itu berkata nanas MS16 merupakan antara varieti terbaik yang pernah diusahakannya kerana rasanya yang enak dan lebih manis.
“Sepanjang pengalaman menanam MS16, saya dapati ia mudah ditanam sebab tiada banyak masalah, dari segi pembajaan juga tidak perlu banyak. Selain itu, ia juga sukar dijangkiti penyakit, jadi penggunaan racun serangga juga kita kurang guna.
“Sebab itu saya yakin MS16 ini sesuai ditanam dan boleh dikomersialkan kerana buahnya cantik, tahan lama dan manis, itu yang penting bagi saya,” katanya ketika ditemui di ladangnya di sini.
Pak Din, yang menceburi bidang penanaman nanas sejak 2019, telah menanam lebih 50,000 pokok nanas termasuk varieti MD2, Yankee, SG1, dan yang terbaharu MS16 di tiga bidang tanah seluas enam ekar sekitar Sabak Bernam.
“Sebelum tanam nanas saya banyak tanam ubi kayu, tapi saya dapati tanaman nanas ini mampu jana pulangan yang lebih lumayan.
“Jadi pada mulanya saya tanam MD2 sahaja daripada jambul nanas yang dibuang di tepi jalan di Meru ketika dalam perjalanan pulang dari kerja, saya kutip dan tanam di kampung saya di Sabak Bernam.

“Akhirnya saya berjaya kutip 4,000 jambul dan Alhamdulillah pendapatannya saya meningkat berlipat ganda dan saya tidak menoleh ke belakang lagi selepas itu,” tambahnya.
MS16 diperkenalkan kepadanya oleh pegawai MARDI, menerusi pembelian 100 anak pokok pada majlis pelancaran Disember 2023.
Disebabkan pengalaman luasnya dalam tanaman nanas, beliau kemudian telah dipilih mengikuti projek perintis MARDI dan dibekalkan 1000 pokok MS16 pada April
2024.
“Sepanjang mengerjakan tanaman MS16 ini, saya sentiasa berhubung dengan pihak MARDI bagi mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar mengenai cara-cara penanaman dan penjagaan nanas, selain itu saya juga berkongsi pengalaman di lapangan dengan pegawai MARDI bagi memberi pandangan tentang penambahbaikan yang boleh dilakukan.
“Tetapi secara keseluruhannya, kualitinya memang hebat setanding dengan varieti nanas MD2 kerana nilai Brix (tahap kemanisan) nanas MS16 amat tinggi dan boleh mencecah sehingga 20 peratus, selain itu ia juga banyak ciri-ciri istimewa lain seperti teksturnya yang rangup, aroma yang baik, dan kurang rasa lidas,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik MARDI, Nurul Shamimi Abdul Ghani, berkata MS16 diperkenalkan sebagai alternatif varieti baharu yang manis dan berkualiti, selain meningkatkan kepelbagaian genetik tanaman nanas di Malaysia.
Jelasnya,MS16 adalah hasil kacukan antara Josapine dan nanas tanpa duri dari Australia, dengan prestasi terbaik dari segi saiz buah, pengeluaran sulur yang banyak, dan toleransi tinggi terhadap penyakit reput teras bakteria.
Beliau menambah, nanas MS16 berasal daripada kacukan induk Josapine dan nanas tanpa duri dari Australia.
“Kita mengharapkan hibrid nanas baharu ini berpotensi untuk pasaran segar berhasil tinggi dan toleran kepada penyakit reput teras bakteria.
“Namun, keistimewaan tambahan MS16 ialah ia dapat disimpan dalam jangka masa sekitar tujuh hari pada suhu rendah (10 darjah selsius) dan lima hari pada suhu ambien (25 darjah selsius) yang membolehkannya dipasarkan di pasaran tempatan sebagai nanas segar dan produk terproses seperti jus minuman,” katanya.