KEPALA BATAS, 3 September - Prosedur Operasi Standard (SOP) kawalan keladi agas dibangunkan bagi membantu pesawah mengurangkan infestasi rumpai tersebut pada kadar 70 hingga 100 peratus di sawah.
Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Dilipkumar Masilamany berkata, SOP berasaskan prinsip pengurusan rumpai bersepadu itu mula dibangunkan sejak 2022, dan kini diteruskan melalui projek Pembangunan RMK13.
Beliau dalam kenyataan memaklumkan, tumbuhan tersebut boleh menyebabkan kerugian hasil padi sehingga 45 peratus jika tidak dikawal.
SOP tersebut antaranya merangkumi penggunaan sistem "stale seedbed", pembajakan tanah, kawalan paras air serta penggunaan racun rumpai pra dan lepas-cambah.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika mengumumkan varieti baharu padi MR 333 di Kampung Lahar Minyak, meminta MARDI mempergiatkan kajian bagi mencari kaedah terbaik mengawal keladi agas supaya hasil padi negara tidak terjejas.