fb fb fb fb fb

Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Miri ditemukan

Foto JBPM

MIRI, 29 Januari - Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Fatimah Dawi, 71, ditemukan pada 6.06 petang oleh petugas penyelamat.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dijumpai terhimpit di bawah konkrit dinding dan dibawa keluar dari lokasi kejadian pada pukul 6.26 petang.

"Mayat dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Dengan penemuan itu katanya, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) tamat sepenuhnya.

Walaupun operasi SAR ditamatkan namun pihaknya akan meneruskan pemantauan di kawasan kampung berkenaan kerana terdapat maklumat daripada pihak berwajib seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), memaklumkan bahawa kawasan tersebut masih berisiko.

Pasukan penyelamat menemukan mayat pertama seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 6.17 pagi tadi diikuti seorang wanita pada 10.53 pagi.

Mayat dua kanak-kanak perempuan kemudian ditemukan masing-masing pada 11.38 pagi dan 10.48 pagi.

Tujuh individu berusia lingkungan 14 hingga 60 tahun terdiri daripada dua lelaki dan bakinya wanita dari kedua-dua rumah terbabit terselamat dalam kejadian itu.

Operasi menyelamat dalam keadaan hujan lebat itu membabitkan 19 pegawai dan 85 anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan dengan dibantu penggunaan sebuah jengkaut.

TETITIA YUSOFF