fb fb fb fb fb

Mangsa banjir di Terengganu, Pahang berkurang

KUALA LUMPUR, 14 Disember- Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Pahang mencatatkan pengurangan berbanding semalam manakala Perak, Kelantan dan Johor kekal.

Di Pahang, sejumlah 387 mangsa banjir dilaporkan pagi ini berbanding 435 malam tadi.

Kawasan yang terjejas banjir adalah Temerloh dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 210 mangsa, Pekan dengan sebuah PPS menempatkan 142 mangsa dan Bera dengan dua PPS dibuka menempatkan 35 mangsa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Sungai Triang di Bera masih berada di paras bahaya manakala lima sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Luit di Kampung Subuh, kedua-duanya di Maran; Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan; Sungai Belat di Kuantan dan Sungai Keratong di Rompin.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir di Temerloh dan Bera pada petang serta malam ini manakala Pekan dijangka mengalami hujan pagi ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir pagi ini menurun kepada 69 orang daripada 22 keluarga berbanding 80 daripada 24 keluarga malam tadi. Tiga PPS dibuka di tiga daerah iaitu Kuala Terengganu (55 mangsa), Besut (12 mangsa) dan Setiu (dua mangsa) masih beroperasi setakat pukul 8.00 pagi tadi.

Sementara di Kelantan, Sekretariat JBPN merekodkan jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas sama seperti rekod semalam dengan 2,018 orang daripada 635 keluarga dan kesemua mangsa ditempatkan di tujuh PPS di jajahan tersebut.

(Foto fail)

PPS terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh yang menempatkan 712 mangsa, SK Kedai Tanjong (47 mangsa), SK Gual Periok (544 mangsa), Masjid Mukim Padang Licin (73 mangsa), PPS Putat Tujoh (157 mangsa), SK Kubang Kual (251 mangsa) dan SK Sri Kiambang dengan 234 mangsa.

Di Perak, empat PPS masih beroperasi dengan jumlah mangsa kekal 147 orang daripada 39 keluarga sehingga pukul 12.00 tengah malam tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan empat PPS tersebut adalah SMK Abd Rahman Talib (SMART) di daerah Hilir Perak; Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Manjung; Dewan SK Slim River, Mualim dan Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali di Perak Tengah.

Di Johor, mangsa banjir kekal 51 orang di daerah Segamat setakat pukul 8.00 pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan 15 keluarga masih ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak serta Balai Raya Kampung Kuala Paya dan mereka yang terjejas adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 Segamat dan Kampung Kuala Paya.

Media Baharu