KUALA LUMPUR, 14 Oktotber - Mangsa atau saksi kepada perlakuan buli dinasihatkan berani bersuara dan tampil melaporkan kepada guru, ibu bapa atau pihak polis bagi membolehkan tindakan segera diambil, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyediakan saluran selamat seperti aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk memudahkan aduan dibuat tanpa rasa takut atau terancam.
“Kes buli meningkat kepada 7,681 kes pada tahun lalu menunjukkan keperluan tindakan segera dan menyeluruh.
"PDRM komited menyokong segala usaha kerajaan untuk mencegah serta membanteras kegiatan buli, khususnya di sekolah, bagi memastikan institusi pendidikan kekal selamat dan bebas daripada salah laku pelajar,"katanya pada sidang media selepas perasmian Program Kempen Anti Buli hari ini.
Menurutnya, guru pula disaran mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat dan kondusif, selain memantau sebarang interaksi yang boleh membawa kepada insiden buli sama ada secara fizikal mahupun emosi.
“Ibu bapa juga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak di rumah, termasuk tanda trauma, kemurungan atau keengganan ke sekolah,” katanya.
Datuk Seri Mohd Khalid menegaskan bahawa buli bukan sekadar salah laku disiplin, tetapi satu bentuk jenayah yang boleh meninggalkan kesan jangka panjang terhadap mangsa.
Ini termasuk kecederaan mental, fizikal dan menjejaskan prestasi akademik.
Beliau berkata, lebih 7,600 kes buli dilaporkan tahun lalu, menunjukkan tindakan proaktif semua pihak amat diperlukan bagi mengekang peningkatan kes.
“Peranan pencegahan tidak boleh diserahkan kepada pihak sekolah atau polis semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan bersama oleh komuniti, rakan sebaya dan institusi keluarga,” katanya.
Tambahnya, PDRM berharap pelaksanaan Kempen Anti Buli ini dapat mencapai matlamat untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan bebas daripada buli.
"Ini sekali gus melahirkan generasi pelajar yang berakhlak mulia serta berdisiplin tinggi," ujarnya.
Katanya, sebagai langkah berterusan, PDRM kini menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di lebih 10,000 sekolah di seluruh negara bagi menjalankan sesi dialog dan program libat urus komuniti yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya serta kesan buruk budaya buli.