fb fb fb fb fb

Manfaatkan pokok getah matang sebagai perabot kayu kualiti tinggi

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Karnival RISDA Madani (KARRISMA) di Dataran Uptown Kluang hari ini/Facebook RISDA

KLUANG, 7 September – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyarankan pekebun kecil agar memanfaatkan balak dari pokok getah yang sudah matang atau tidak lagi mengeluarkan hasil sebagai sumber pendapatan tambahan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah mengenal pasti 420,000 hektar kebun getah yang tidak lagi produktif.

Beliau mencadangkan agar pokok-pokok getah lama ini ditebang dan diproses menjadi kayu berkualiti tinggi untuk dijadikan perabot atau bahan lain, dan bukannya dijual sebagai kayu balak mentah tanpa melalui proses rawatan atau aktiviti hiliran (downstream).

“Oleh yang demikian pokok-pokok berkenaan ditebang sekali gus bakal digantikan dengan pokok yang baharu dan digalakkan kepada pekebun berkenaan menjadikannya sebagai ‘timber’ yang boleh menjana pendapatan kepada mereka.

“Timber atau bahan kayu ini boleh dijadikan sebagai bahan untuk dibuat perabot, yang boleh dijual sebelum proses treatment (tanam semula) dilakukan.

“Dengan keluasan 420 hektar, tanah berkenaan akan memberikan hasil lumayan dalam tempoh 10 tahun dengan kira-kira pendapatan RM2 bilion atau RM200 juta setahun,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika berucap dalam Karnival RISDA Madani (KARRISMA) di Dataran Uptown Kluang di sini hari ini.

Turut hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi RISDA Manndzri Nasib serta Ketua Pengarah RISDA  Zainal Azni Zulkifli.

Program KARRISMA turut menekankan bahawa peranan RISDA bukan hanya terbatas kepada penanaman getah semata-mata, tetapi melibatkan pelbagai bentuk bantuan lain seperti program keusahawanan dan agromakanan, sehingga ke bantuan khairat kematian.
 
Karnival tiga hari ini menyediakan platform kepada 70 usahawan pekebun kecil bimbingan RISDA untuk mempromosikan produk mereka serta memperluaskan jaringan pemasaran.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap industri getah negara ini dapat menggunakan mekanisme moden bagi meningkatkan eksport produk berasaskan getah.

Ketika ini, eksport getah negara telah merosot ke kedudukan kelapan di peringkat global, berbanding kedudukan pertama pada tahun-tahun sebelumnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN