fb fb fb fb fb

Mana-mana negara mengenakan zon larangan terbang di Ukraine terlibat konflik - Putin

(Peserta protes memegang poster Presiden Rusia Vladimir Putin ketika bantahan pencerobohan Rusia, di Miami Florida/AFP)

MOSCOW, 6 Mac- Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran kepada mana-mana negara yang mengenakan zon larangan terbang di Ukraine, dianggap Moscow turut terlibat dalam konflik.

Putin turut mengancam tentera Rusia akan terus berada di negara bekas Soviet itu yang juga jirannya.

Terdahulu, pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelensky merayu kepada negara Barat agar memberi sokongan kepada pelaksanaan zon larangan terbang di Ukraine susulan pencerobohan Moscow sejak 10 hari lalu.

Namun setakat ini, sekutu Ukraine menolak rancangan itu kerana bimbang perang dengan Rusia yang memiliki senjata nuklear merebak ke negara lain.

Putin memberi amaran bahawa zon larangan terbang akan hanya mewujudkan “malapetaka dan kesan lebih besar tidak hanya kepada Eropah tetapi juga ke seluruh dunia.”

“Sebarang langkah berhubung perkara itu dianggap penyertaan dalam konflik bersenjata," kata pemimpin Rusia itu semasa mengadakan pertemuan dengan pekerja syarikat penerbangan nasional Aeroflot.

Putin turut menyatakan bahawa Ukraine bakal kehilangan status negara, jika langkah itu diteruskan.

“Pihak berkuasa semasa (Ukraine) perlu faham, jika mereka meneruskan tindakan itu, mereka meletakkan persoalan tentang masa depan status Ukraine. Dan jika ia berlaku, mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” kata Putin.

(Protes Komuniti Ukraine di Bogota/AFP)

Memasuki minggu ke-dua pencerobohan tentera Rusia di Ukraine, kesan ekonomi dan kemanusiaan semakin meningkat, menyebabkan banyak orang awam di kedua-dua negara melarikan diri ke lokasi lebih aman.

Tetapi Putin menolak khabar angin bahawa Kremlin akan mengisytiharkan undang-undang tentera di Rusia.

“Undang udang tentera hanya akan dilaksanakan jika berlaku pencerobohan pihak luar, kita tidak mengalaminya pada masa ini dan saya berharap tidak akan berlaku,” katanya. -AFP

Media Baharu