fb fb fb fb fb

MALBATT 850-11 tamat tempoh penggiliran 14 November ini

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang kini bertugas di selatan Lubnan dijadual menamatkan tempoh penggiliran mereka pada 14 November depan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata atur gerak penggiliran bagi pasukan MALBATT 850-12 akan bermula pada 6 November ini.

“Selain menjaga aspek kebajikan, kita juga memberi keutamaan terhadap kecederaan atau risiko yang lebih besar. Semua tanggungjawab ini telah digariskan dalam penyediaan perkhidmatan kita di Lubnan. Kami turut menghargai pengorbanan anggota yang telah bertugas dalam MALBATT,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengenai kebajikan anggota MALBATT.

Adly turut menekankan bahawa kebajikan pasukan negara sentiasa diutamakan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIFIL) bagi menjamin keselamatan anggota yang terlibat dalam misi pengaman tersebut.

Tambah beliau, sehingga kini tiada anggota pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan yang terkorban.

Sementara itu, menjawab soalan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, mengenai serangan tentera Israel di selatan Lubnan dan Beirut, Adly menjelaskan bahawa pasukan MALBATT berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan aset.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN