Malaysia-Turkiye senada seru gencatan senjata di Asia Barat

FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, menggesa semua pihak agar segera meredakan ketegangan di rantau Asia Barat yang semakin meruncing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri dan Presiden Turkiye berbual telefon untuk bertukar pandangan mengenai krisis Asia Barat.
  • Anwar menyatakan solidariti Malaysia selepas insiden peluru berpandu balistik yang menghala ke ruang udara Turkiye.
  • Beliau menegur pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran berisiko menjurus Asia Barat ke ketidaktentuan lebih serius dan berpanjangan.
  • Anwar mengutuk pelanjutan penempatan haram Israel di Tebing Barat dan menyeru hentikan serangan, utamakan dialog serta diplomasi.

Gesaan tersebut dizahirkan melalui perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin pada malam Khamis bagi bertukar pandangan mengenai krisis semasa yang melanda rantau berkenaan.

Dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini, Datuk Seri Anwar menyatakan solidariti teguh Malaysia terhadap Turkiye susulan insiden peluru berpandu balistik yang menuju ke arah ruang udara negara itu.

Beliau menyifatkan kejadian tersebut sebagai gambaran jelas betapa rapuhnya tahap keselamatan serantau pada waktu ini.

“Insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam kancah ketidaktentuan yang lebih serius serta berpanjangan,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru semua pihak yang terlibat supaya menghentikan sebarang serangan dan mengutamakan pendekatan berteraskan dialog serta diplomasi sebagai jalan penyelesaian utama.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian tegas Turkiye dan masyarakat antarabangsa yang mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Israel untuk memperluas penempatan haram di Tebing Barat.

Beliau menegaskan bahawa tindakan rejim berkenaan merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan mencabar kedaulatan wilayah Palestin.

Dalam perkembangan lain, Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap ketegangan antara Afghanistan dan Pakistan serta menggesa kedua-dua pihak agar segera menghentikan sebarang tindakan ketenteraan yang merugikan.

Perdana Menteri memaklumkan telah menghubungi Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund.

Dalam perbincangan tersebut, Malaysia menegaskan peri pentingnya sifat menahan diri bagi mengelakkan situasi keselamatan di wilayah berkenaan terus meruncing.

Tindakan ketenteraan dilaporkan telah meragut ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak disifatkan sebagai satu tragedi yang perlu dihentikan dengan kadar segera.

Sehubungan itu, Malaysia menggesa agar segala pertikaian diselesaikan melalui meja rundingan dan saluran diplomatik yang lebih efektif.