
KUALA LUMPUR 8 Januari – Malaysia dan Turkiye sepakat memperkukuh hubungan dua hala menerusi penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi atau HLSC, sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama strategik komprehensif antara kedua-dua negara.
- Penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSC) antara Malaysia dan Turkiye untuk hubungan dua hala lebih kukuh.
- Sasaran peningkatan nilai dagangan dua hala kepada AS$10 bilion memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas.
- Perluasan kerjasama dalam pelaburan, logistik, pelabuhan, penerbangan dan koridor ekonomi serantau.
- Pengukuhan kerjasama pertahanan termasuk teknologi tinggi, latihan ketenteraan dan usaha menentang keganasan rentas sempadan.
- Kerjasama dalam tenaga boleh diperbaharui, hidrogen bersih, teknologi bateri, serta sokongan kepada akses kemanusiaan ke Gaza dan Palestin.
Menerusi kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, kedua-dua pemimpin yang mempengerusikan mesyuarat sulung HLSC di Ankara menyatakan komitmen bersama untuk memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran di peringkat dua hala, serantau dan global, selain menyambut baik pemeteraian perjanjian dalam bidang perdagangan dan pelaburan, teknologi maklumat serta industri pertahanan.
“Dalam aspek ekonomi, Malaysia dan Türkiye menyasarkan peningkatan nilai dagangan dua hala kepada AS$10 bilion, dengan memanfaatkan sepenuhnya Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Turkiye serta memperluas kerjasama dalam sektor pertanian, pembuatan, perdagangan digital dan perkhidmatan, termasuk ekonomi halal global.
“Kedua-dua negara turut bersetuju memperkukuh pelaburan dan kesalinghubungan melibatkan logistik, pelabuhan, penerbangan awam, pengangkutan multimodal serta pembangunan koridor ekonomi yang menghubungkan Eropah, Timur Tengah dan Asia Pasifik,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, dalam bidang pertahanan dan keselamatan, kedua-dua pihak bersetuju memperdalam kerjasama teknologi tinggi industri pertahanan, latihan ketenteraan serta usaha memerangi keganasan dan jenayah rentas sempadan.
Malaysia dan Turkiye juga komited memperluas kerjasama dalam peralihan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen bersih, teknologi bateri serta usaha menangani perubahan iklim sejajar Perjanjian Paris dan Matlamat Pembangunan Mampan.
Di peringkat antarabangsa, kedua-dua pemimpin menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dan penubuhan negara Palestin merdeka, selain menggesa akses kemanusiaan segera dan berterusan ke Gaza.
Kedua-dua negara turut sepakat memperkukuh kerjasama media, komunikasi strategik, pembangunan sosial, perlindungan keluarga serta hubungan rakyat ke rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan dan pelancongan.
Sebagai langkah susulan, Mesyuarat Suruhanjaya Bersama akan diadakan sebelum akhir 2026, manakala Mesyuarat HLSC Kedua dijadual berlangsung di Malaysia pada tahun 2028.