fb fb fb fb fb

Malaysia tidak akan terikat hutang dengan China - Loke

(Anthony Loke Siew Fook)

KUANTAN, 7 April- Menerima pelaburan dari negara China melalui Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) tidak akan mengakibatkan Malaysia terikat hutang dengan negara kuasa besar itu, sebaliknya pembiayaan terutama melibatkan projek berskala besar perlu dilihat sebagai kerjasama strategik dua negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Terminal Laut Dalam Pelabuhan Kuantan antara projek yang menerima pelaburan besar.

"Apabila kerajaan melaksanakan sesuatu projek, ia sudah tentu ada kelebihannya. Jadi, ia tidak boleh dilihat sebagai satu perangkap untuk negara berhutang kepada mana-mana pihak ataupun negara China.

"Ini merupakan satu pilihan kerajaan, apabila kita (kerajaan) menandatangani sesuatu perjanjian, itu jadi satu komitmen yang kita kena bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun MCKIP ke-10 yang diadakan di Hotel Hyatt, di sini.

Justeru menurutnya, setiap negeri di Malaysia yang menerima manfaat infrastruktur itu perlu memaksimumkan nilai projek berkenaan di negeri masing-masing.

Projek ECRL dengan landasan sepanjang 688 kilometer membabitkan kos sebanyak RM55 bilion dan pembinaannya dilakukan oleh syarikat China Communications Construction Company (CCCC), yang dijangka beroperasi pada tahun 2027.

Beliau mengulas kenyataan media barat berkaitan amaran 'perangkap hutang' kepada negara membangunkan melalui BRI yang dipromosikan China sejak tahun 2008.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan telah menerima cadangan daripada Kerajaan Pahang untuk projek pembinaan lapangan terbang baharu di negeri itu.

Ketika ini, cadangan tersebut masih dalam proses perbincangan lanjut.

(Foto fail)

Media Baharu