fb fb fb fb fb

Malaysia, Thailand perkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama Duta, Perwakilan Asing dan Ketua Pertubuhan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya

PUTRAJAYA, 21 Mac - Malaysia dan Thailand sedang memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Ini selepas negara itu menjadi rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global pada 2023, dengan jumlah dagangan sebanyak RM113.16 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain Thailand, Malaysia turut bekerjasama dengan Singapura dalam melengkapkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan perjanjian bersama antara kedua-dua negara dijangka dimeterai akhir tahun ini.

"Kami bekerjasama dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin untuk mengadakan kerjasama lanjut bagi meningkatkan kerjasama, ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan di majlis berbuka puasa MADANI bersama para duta, perwakilan asing, ketua organisasi antarabangsa serta pelajar dari Maahad Tahfiz Sulaimaniyah, Kajang di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Bercakap mengenai kerjasama Malaysia dalam ASEAN, Anwar berkata kerajaan akan mengembangkan kerjasama dalam beberapa bidang termasuk peralihan tenaga, transformasi digital, kesihatan awam dan pendidikan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN