fb fb fb fb fb

Malaysia terus lantang kecam kekejaman di Gaza

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan

PUTRAJAYA, 3 Julai- Malaysia akan terus lantang mengecam kekejaman yang berlaku di Gaza pada setiap pentas dunia.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata adalah menjadi harapan agar pembunuhan kejam rakyat Palestin dihentikan dan gencatan senjata di Gaza berkekalan.

"Kita berharap supaya sebuah negara Palestin yang merdeka dapat ditubuhkan dengan secepat mungkin dan rakyat palestin dapat kembali ke tanah air mereka mengikut dari sempadan sebelum 1967.

"Inilah harapan seluruh masyarakat antarabangsa agar isu Gaza isu Palestin ini dapat diselesaikan", katanya dalam sidang media selepas melancarkan Inisiatif Kemanusiaan Untuk Palestin di Wisma Putra.

Beliau memaklumkan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada September ini akan menjadi pentas utama bersuara dan mengutuk kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Tambahnya, Malaysia berharap supaya resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), penghakiman sementara oleh mahkamah keadilan antarabangsa itu dikuat kuasa, cadangan tiga fasa gencatan senjata oleh Amerika diterima semua pihak.

Sementara itu, sebarang penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Gaza hanya akan menggunakan laluan Lintasan Jambatan Raja Hussein di Jordan. Ia merupakan satu-satunya laluan yang masih dibuka selepas Lintasan Rafah ditutup sepenuhnya awal Mei Lalu.

Mohamad menjelaskan perkara tersebut telah dibincangkan semasa lawatan beliau ke Jordan pada Jun lalu.

"Jadi penghantaran bantuan selepas ini saya rasa elok kita buat melalui Jordan kerana Jordan mempunyai hubungan diplomatik dengan pihak Israel dan mereka boleh menghantar. Saya diberitahu tempoh hari, semasa saya di Jordan, kita berehat, mereka menghantar lebih kurang 500 kontena setiap hari", katanya.

Program berkenaan merupakan inisiatif kemanusiaan yang dijalankan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta bagi membantu rakyat Palestin yang menderita.

ROSLINA BINTI DIN