VIENTIANE, 11 Oktober-Malaysia secara rasmi menerima tugas Pengerusi ASEAN 2025 daripada Laos, hari ini.
Penyerahan Kepengerusian itu berlangsung penuh simbolik di Vientiane.
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptamanya beri jaminan, 2025 akan jadi satu bab penting untuk ASEAN, penuh dengan makna dan potensi.
ASEAN 2025, bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan.
"Ia mempamerkan harapan kita bahawa langkah diambil hari ini, akan bertahan lama dalam jangka panjang.
"Ia juga menggariskan keazaman untuk memastikan masa depan yang kukuh sepanjang kita bergerak ke hadapan. Pada setiap masa, tindakan dan keputusan kita akan berpandukan kepada prinsip muafakat.
"Justeru, sama-sama kita berikan komitmen untuk membina rantau yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan," katanya di sini.
Pada majlis sama, Malaysia buat kali pertama turut memperkenalkan logo ASEAN Malaysia 2025.
Mengangkat keistimewaan Bunga Kebangsaan sebagai elemen utama, ia melambangkan visi Malaysia untuk memacu ASEAN menerusi persidangan tahun hadapan.
Logo berkenaan memaparkan lambang ASEAN dalam kitaran berbentuk bunga raya, dengan warna yang mewakili warna utama bendera semua negara anggota ASEAN.
Majlis pelancaran logo tersebut dijadual berlangsung pada 22 oktober ini di Malaysia.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengemudi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu.
Kali terakhir negara mempengerusikan persidangan tersebut pada 2015.