PUTRAJAYA, 15 Oktober- Malaysia menerima ketibaan dua kapal Tentera Laut Jerman, frigat FGS Baden-Württemberg dan kapal sokongan FGS Frankfurt Am Main di Terminal Kapal Persiaran Port Klang (PKCT), Selangor selama empat hari mulai hari ini hingga Jumaat.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan bahawa ketibaan kapal-kapal tersebut adalah sebahagian daripada German Navy Indo-Pacific Deployment 2024.
Jelas Wisma Putra, semasa berlabuh di PKCT, kapal-kapal berkenaan akan menghoskan majlis resepsi, sesi dialog dengan pemain industri, lawatan berpandu ke kapal, serta interaksi antara kru dengan Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Kapal-kapal tersebut dijadual berlepas pada 18 Oktober ini ke Laut Andaman dan seterusnya ke Lautan Hindi. Semasa pelayaran, mereka akan mengadakan latihan passing exercise (PASSEX) dengan aset TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak," menurut kenyataan itu.
Ujarnya, kunjungan kapal-kapal Tentera Laut Jerman tersebut mengesahkan hubungan erat antara Malaysia dan Jerman, menyaksikan pertukaran lawatan di peringkat tertinggi khasnya lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman pada 10 hingga 15 Mac lalu.
"Semasa lawatan berkenaan, Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Canselor Herman, Olaf Scholz serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeyer, di mana perbincangan telah tertumpu kepada kerjasama ekonomi yang semakin erat," menurut kenyataan.
Jelasnya, menerusi kunjungan tersebut dan kerjasama sedia ada yang berterusan dalam pelbagai bidang, Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Jerman.