fb fb fb fb fb

Malaysia tegaskan peranan proaktif ASEAN di Forum Diplomasi Antalya

Foto FB Wisma Putra

KUALA LUMPUR, 13 April – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin telah menghadiri Forum Diplomasi Antalya (ADF) edisi ke-4 di Antalya, Turkiye dari 10 hingga 13 April, dalam rangka lawatan kerja rasmi.

Dalam forum diplomatik bertaraf antarabangsa itu, beliau telah dijemput sebagai ahli panel dalam sesi perbincangan bertajuk “ASEAN's Evolving Role at Regional and Global Levels”.

Beliau berkongsi pentas bersama Timbalan Menteri Luar Negeri Turkiye, Puan Yang Terutama A Berris Ekinci dan Profesor Madya Dr Hatice Çelik dari Universiti Sains Sosial Ankara, yang dipengerusikan oleh Pengerusi ISIS Malaysia, Datuk Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah.

Mohamad menegaskan peranan proaktif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam memperkukuh kepercayaan, keterangkuman, serta memacu dialog dan kerjasama serantau.

Beliau turut mengulangi pendirian Malaysia dalam mengamalkan dasar luar berkecuali yang berimbang dan berprinsip, terutama dalam menghadapi ketegangan geopolitik yang semakin kompleks.

Beliau turut menekankan keperluan ASEAN untuk terus kekal relevan, berdaya tahan dan responsif dalam menghadapi cabaran serantau dan global yang sentiasa berubah.

Sepanjang keberadaan beliau di Antalya, Mohamad turut mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dari Kemboja, Somalia, Afrika Selatan dan Turkiye.

Beliau juga melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Republik Yaman bagi membincangkan hubungan dua hala serta isu serantau termasuk situasi di Asia Barat.

Seterusnya, beliau akan meneruskan misi diplomatik ke Baku, Azerbaijan dari 14 hingga 16 April untuk mengetuai bersama Sesi Rundingan Politik Malaysia–Azerbaijan kali ke-2.

Misi itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN