PUCHONG, 14 Februari - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada mana-mana negara berhak menentukan masa depan rakyat Palestin.
Katanya Malaysia kekal dengan pendirian bersama-sama negara Islam lain untuk mempertahankan hak rakyat di negara itu.
"Memang sangat merunsingkan. Kita tegas dengan pendirian bersama rakan-rakan negara Arab untuk kita mesti sama-sama pertahankan hak rakyat Gaza dan Palestin untuk bangunkan negara dengan bebas dan merdeka.
"Dan tidak ada mana-mana negara lain untuk menentukan masa depan rakyat Palestin," kata Anwar.
Sebelum ini Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan bahawa rakyat Palestin tidak memiliki hak untuk kembali ke Gaza. Trump merancang untuk mengambil alih Semenanjung Gaza.
Rancangan itu bagaimanapun ditolak sepenuhnya oleh dunia Arab dan masyarakat antarabangsa.
Dalam pada itu Perdana Menteri memaklumkan ketika ini sudah ada calon bagi Duta Malaysia ke Amerika Syarikat.
Bagaimanapun katanya, ia perlu melalui proses seperti biasa dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
"Ada calon tetapi prosesnya seperti biasa akan diperkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Pada 8 Februari lalu, Datuk Seri Nazri Azizi mengesahkan penamatan tempoh perkhidmatannya sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat.