JOHOR BAHRU, 26 September- Malaysia dan Singapura merupakan rakan baik dan hubungan ini tidak seharusnya terganggu oleh sebarang isu yang timbul antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara telah bekerjasama dalam banyak perkara sepanjang sejarah, meskipun mempunyai pergeseran kecil.
Beliau berharap hubungan baik antara kedua-dua negara diteruskan pada masa depan, sekali gus menerima manfaat daripada situasi menang-menang.
"Semua negara ada masalah dengan negara jiran contoh Amerika Syarikat dan Kanada tetapi ini bukan isu untuk menimbulkan ketegangan, pertukaran melulu antara satu sama lain.
"Ia harus berbincang tetapi tidak boleh melencong dari fokus," katanya ketika berucap pada acara Invest Malaysia 2024 @ Iskandar Puteri, di sini.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan Malaysia bakal menjadi pengerusi Persidangan ASEAN 2025 pada tahun depan dan berasa teruja untuk bekerjasama dengan Singapura.
Ia susulan aktiviti ekonomi yang rancak dijalankan di rantau ASEAN, secara tidak langsung dianggap sebagai salah satu rantau berkembang paling pesat.
Edisi utama Invest Malaysia 2024 @ Iskandar Puteri kali ini dianjurkan oleh Bursa Malaysia dan dihoskan bersama dengan Maybank, CIMB Securities (CIMB) dan HSBC Malaysia (HSBC).
Persidangan sehari yang bertemakan “Where Policy Meets Progress” itu menampilkan Iskandar sebegai pintu masuk utama di wilayah selatan negara, mengetengahkan pembangunan mega dengan tumpuan utama kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) dam tawaran insentif menarik lain kepada pelabur.