
KUALA LUMPUR, 14 Mac – Malaysia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk ancaman penutupan Selat Hormuz susulan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
- Kerajaan meneliti perkembangan politik Asia Barat dan merangka langkah jangka pendek serta panjang bagi memastikan kesiapsiagaan jika krisis berlanjutan.
- Pelaksanaan langkah penjimatan termasuk pembatalan sambutan Aidilfitri kementerian dan GLC, pertimbangan WFH, dan nasihat pengamalan langkah penjimatan.
- Kementerian digalakkan cari alternatif hadapi kenaikan harga; Kementerian Pertanian sarankan tanaman sendiri dan perhatian terhadap keselamatan rakyat di zon konflik.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata kerajaan sedang meneliti perkembangan politik di rantau berkenaan.
Negara juga merangka langkah jangka pendek dan panjang bagi memastikan kesiapsiagaan jika krisis berlarutan.
Beliau berkata pelbagai langkah penjimatan turut dilaksanakan termasuk keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan sambutan Aidilfitri di peringkat kementerian serta syarikat berkaitan kerajaan.
“Sebab itulah kita lihat pada minggu lalu kerajaan mengumumkan akan mempertimbangkan bekerja dari rumah (WFH) dan pada masa sama menasihatkan rakyat supaya mengamalkan langkah penjimatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di RTM.
Menurut beliau, kementerian berkaitan turut digalakkan mencari alternatif bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barangan.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga menyarankan kakitangan mencari sumber alternatif termasuk menyediakan plot cucuk tanam sendiri sebagai persediaan berdepan peningkatan harga di pasaran,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata persediaan kerajaan tidak hanya tertumpu kepada aspek ekonomi tetapi turut memberi perhatian terhadap keselamatan rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Asia Barat.