BALI, 21 Mei - Malaysia sedia membantu Palestin dari segi bantuan teknikal terutamanya bekalan air bersih selepas pasca konflik yang berlaku di Gaza.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bagi membantu penduduk di sana membaik pulih dan membina semula bekalan air bersih.
"Komitmen kita ialah untuk membantu dari sudut kemanusiaan. Rakyat Palestin memerlukan air dan kita bersedia membantu dari segi teknikal dengan syarat dibenarkan memasuki Gaza. Perkara itu kita akan adakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Gaza", katanya demikian pada sidang media selepas pertemuan bersama Menteri Air Palestin yang juga Ketua Pihak Berkuasa Air Palestin, Mazen Ghunaim sempena Forum Air Dunia Kali Ke-10 di Pusat Konvensyen Bali Nusa Dua (BNDCC) di sini.