KUALA LUMPUR, 30 September - Malaysia berharap pelan damai menamatkan perang Israel ke atas Gaza yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Kementerian Luar Negeri berkata, pelan komprehensif yang diumumkan di Washington DC pada 29 September itu merupakan langkah penting menamatkan jenayah genosid, kebuluran dan kemusnahan di Gaza.
"Malaysia berharap agar pelan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, seterusnya membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan, pengunduran tentera Israel, kepulangan pelarian dan rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa, serta pembinaan semula Gaza.
"Malaysia menekankan bahawa pelaksanaan pelan ini hendaklah sejajar dengan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta resolusi berkaitan, bagi memastikan perlindungan rakyat Palestin terjamin," menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.
Tambahnya, aspek itu penting untuk mencapai keamanan adil dan berkekalan, selain menjamin keselamatan serta kestabilan kepada semua pihak di rantau berkenaan.
Malaysia turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa menyokong usaha murni itu.
Ini termasuk integrasi Gaza dengan Tebing Barat dan penubuhan negara Palestin merdeka.
"Negara Palestin yang diimpikan itu adalah berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," kata Wisma Putra.