fb fb fb fb fb

Malaysia sambut baik pelan damai Gaza

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditemui media ketika hadir merasmikan Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam/BERNAMA

SHAH ALAM, 9 Oktober - Malaysia menyambut baik persetujuan Hamas menerima pelan damai Gaza yang mengandungi 20 perkara bagi menamatkan serangan dan penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi membuka ruang ke arah penyelesaian menyeluruh terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

"Kita menghargai persetujuan pihak Hamas terhadap 20 perkara dalam perjanjian itu, namun kami yakin bahawa pihak Hamas akan melakukan penelitian terhadap beberapa isu bagi memuktamadkan genjatan senjata berkenaan.

"Namun paling penting perang, penindasan kebuluran kematian disebabkan oleh pelbagai penyakit yang timbul daripada peperangan itu mesti dihentikan, yang penting Gaza dan Palestin mesti diselamatkan dan di muktamadkan." katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor.

Beliau turut menegaskan tumpuan kini lebih terarah kepada menamatkan penderitaan rakyat Gaza serta memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kekecewaan terhadap tindakan Israel yang terus melakukan pengeboman walaupun rundingan damai sedang berlangsung;

dan menuntut agar Israel menghentikan semua serangan dan sekatan terhadap penghantaran bantuan makanan serta melepaskan delegasi Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang kini ditahan di penjara Israel.

Tambah Datuk Seri Dr. Zahid Israel mesti belajar untuk menghormati suara masyarakat dunia yang mengutuk keras tindakan biadap dan zalim rejim Zionis.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ