KUALA LUMPUR, 7 Jun- Malaysia dan New Zealand mengadakan Mesyuarat Tahunan Menteri Luar pertama bagi kedua-dua negara di ibu negara yang memberi tumpuan bagi memperhalusi kerjasama dua hala dan meneroka potensi kerjasama baharu bawah kerangka Perkongsian Strategik.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu hantaran di Facebook berkata, mesyuarat itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar New Zealand Winston Peters yang dalam lawatan kerja empat hari ke Malaysia.
"Selain membincangkan isu-isu dan kerjasama dua hala, Malaysia dan New Zealand telah bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
"Turut menjadi perhatian adalah usaha pengukuhan bidang perdagangan, hubungan diplomatik dan kerjasama keselamatan kedua-dua negara," katanya yang turut mempengerusikan mesyuarat itu di sini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat, kedua-dua menteri menyatakan penghargaan terhadap hubungan dua hala yang kukuh dan mengakui kemajuan kerjasama semasa bawah Perkongsian Strategik yang ditubuhkan pada 2023, merangkumi empat tonggak iaitu Kemakmuran, Rakyat, Planet serta Keamanan dan Keselamatan.
Kedua-duanya menegaskan tekad untuk memperkukuh dan memperluaskan kolaborasi dalam bidang-bidang utama yang mempunyai kepentingan strategik dan saling memberi manfaat.
Dalam pada itu, mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, kedua-dua menteri mengesahkan komitmen untuk memperkukuhkan Perkongsian Strategik ASEAN-New Zealand.
Ia termasuk melalui mekanisme yang dipimpin ASEAN dan menantikan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-New Zealand semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.
"Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai geostrategi, keselamatan dan geoekonomi dalam menangani cabaran serantau, termasuk Laut China Selatan, situasi di Timur Tengah, dan situasi di Myanmar, serta Ukraine.
"Para menteri menegaskan komitmen kukuh mereka terhadap multilateralisme dan bertekad untuk terus bekerjasama memperkukuhkan institusi multilateral, termasuk peranan mereka dalam melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia," katanya.
Menurut Kementerian Luar Malaysia, lawatan itu memperkukuh lagi kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara bawah kerangka Perkongsian Strategik, melalui perkongsian ekonomi yang kukuh dan hubungan erat antara rakyat.