
KLANG, 16 Mac – Malaysia berhasrat menarik lebih banyak pengendalian kargo antarabangsa ke Pelabuhan Klang termasuk kargo yang sebelum ini melalui beberapa pelabuhan utama di Asia Barat, selaras dengan usaha memperkukuh kedudukan negara sebagai hab logistik serantau.
- Perkembangan geopolitik dan gangguan laluan perdagangan membuka peluang untuk meningkatkan pengendalian kargo di pelabuhan negara.
- Westports 2 melibatkan penambakan tanah dan pembinaan lapan terminal baharu secara berfasa sehingga 2045.
- Projek dijangka meningkatkan kapasiti kendalian kontena dari 14 juta kepada 28 juta TEUs setahun; fasa pertama siap 2034.
- Northport dan operator lain menaik taraf dermaga, bina gudang baru, serta peroleh kren dan peralatan pengendalian moden.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, perkembangan geopolitik global serta gangguan laluan perdagangan di Asia Barat membuka peluang kepada pelabuhan negara untuk meningkatkan jumlah pengendalian kargo.
“Dalam aspek ini, pelabuhan-pelabuhan negara kita juga harus berusaha mengambil peluang ini menambahkan pengendalian kargo yang biasanya melalui pelabuhan-pelabuhan di Jebel Ali,
Khalifah Port, Salalah Bay dan Muscat.
“Westports kini sedang melaksanakan pelan peluasan terminal kontena baharu yang melibatkan kerja penambakan tanah dan pembinaan lapan terminal baharu secara berfasa sehingga tahun 2045,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Annex Lembaga Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Bagi memastikan pelabuhan negara mampu menampung pertambahan kargo pada masa hadapan, projek peluasan kapasiti pelabuhan sedang dilaksanakan termasuk pembangunan Westports 2.
Projek tersebut melibatkan kerja penambakan tanah dan pembinaan lapan terminal baharu secara berfasa sehingga 2045 yang dijangka meningkatkan kapasiti kendalian kontena daripada 14 juta kepada 28 juta TEUs setahun.
Fasa pertama projek tersebut melibatkan pembinaan empat terminal baharu yang dijangka siap pada 2034. Selain itu, operator pelabuhan lain di kawasan berkenaan turut merancang meningkatkan keupayaan operasi bagi menampung pertumbuhan perdagangan.
Northport juga sedang melaksanakan pelan induk pembangunan infrastruktur merangkumi penaiktarafan dermaga, pembinaan gudang baharu serta perolehan kren dan peralatan pengendalian moden.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan Pelabuhan Klang terus kekal mampan dan berdaya saing dalam landskap logistik serta maritim global yang semakin mencabar.