KUALA LUMPUR, 6 November –Malaysia bakal menjadi negara pertama di Asia Tenggara sebagai tuan rumah penganjuran Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur, (SCEKL) yang dijadualkan berlangsung pada September tahun depan.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan, Malaysia akan memimpin usaha untuk menghubungkan rantau ini dengan inovasi terkini, serta menyokong pembangunan bandar yang lebih cekap dan lestari di seluruh blok ASEAN.
Gobind berkata demikian pada pelancaran Pavilion Malaysia untuk Kongres Dunia Ekspo Bandar Pintar 2024 (SCEWC) di Fira Barcelona Gran Via, Sepanyol.
Menurut kenyataan dikeluarkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), pelancaran Pavilion Malaysia itu dijayakan bersama-sama Digital Nasional Berhad (DNB) dan MyDIGITAL Corporation.
Pameran itu menyerlahkan komitmen Malaysia dalam memajukan inisiatif bandar pintar serta menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam memacu inovasi dan kelestarian bandar.
Sebanyak sebelas pempamer Malaysia yang terlibat dalam penyelesaian bandar pintar mengambil bahagian dengan mengetegahkan pelbagai teknologi dan produk inovasi masing-masing.
Pengunjung berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan para inovator Malaysia, seterusnya meneroka usaha sama dalam menyepadukan teknologi pintar dalam landskap perbandaran.
SCEWC 2024 adalah platform global yang menyatukan pemimpin industri, pembuat dasar, dan inovator dalam memanfaatkan teknologi digital seterusnya meningkatkan kehidupan bandar dan memperbaiki pengalaman digital warga.
Pavilion Malaysia berfungsi sebagai hab untuk mempamerkan penyelesaian canggih Malaysia serta menyediakan ruang atau platform perbincangan bermakna mengenai masa depan bandar pintar.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata pameran ini bagi menjalin kerjasama, dialog, dan perkongsian ke arah membentuk masa depan kehidupan bandar digital, sambil mempelajari amalan terbaik Eropah dalam tadbir urus bandar pintar.
“Pada masa sama, kami mahu membina perkongsian kukuh untuk meningkatkan eksport digital Malaysia dan menarik pelaburan,” tambahnya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), Datuk Azman Ismail, beliau menekankan potensi transformasi aplikasi bandar pintar yang perlu dipacu teknologi 5G dalam meningkatkan kehidupan bandar.
“Penyelesaian bandar pintar, termasuk kenderaan autonomi, sistem pengangkutan awam canggih, pencahayaan pintar yang disatukan dengan pengawasan masa nyata, pengurusan trafik masa nyata, serta pengurusan air dan sisa pintar, mampu meningkatkan keselamatan, keselesaan, dan kemudahan bagi penduduk bandar.
Aplikasi ini memanfaatkan AI dan peranti IoT yang bergantung pada sambungan berkelajuan tinggi dan latensi ultra-rendah. Sebagai penyedia rangkaian 5G borong Malaysia, DNB berbangga menjadi tulang belakang transformasi bandar digital negara,” jelasnya menerusi kenyataan sama.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation, Adrian Marcellus, beliau mahu semua pihak bersama-sama membina persekitaran bandar pintar menggunakan teknologi yang menyokong pertumbuhan lestari tanpa mengabaikan mana-mana pihak, selaras komitmen ASEAN demi masa depan yang lebih baik.
“Kami berhasrat untuk membangunkan bandar yang bukan sahaja lestari tetapi juga inklusif, dengan menggunakan teknologi digital dalam mendorong perubahan bermakna untuk semua. Melalui kerjasama global, kami amat berharap dapat menangani cabaran paling mendesak di bandar-bandar, seterusnya meningkatkan kualiti hidup, memperkukuh daya tahan, dan menyediakan peluang adil adil untuk semua,” kata Marcellus.
SCEWC 2024 berlangsung dari 5 - 7 November ini, merupakan acara tahunan Fira de Barcelona. Dijangkan lebih 25,000 pengunjung mewakili 850 bandar, 1,100 pempamer dan 600 penceramah berkumpul dalam memajukan bandar pintar yang lebih baik termasuk aspek perumahan, ketersambungan, keselamatan, bangunan dan mobiliti.