fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk keras serangan Israel, sokong gencatan senjata kekal di Gaza

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan rejim Zionis Israel yang semakin memuncak di seluruh Gaza dan Tebing Barat, termasuk serangan ke atas infrastruktur awam, serta keganasan oleh pendatang haram Israel yang disifatkan sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

Menerusi satu kenyataan, Kementerian Luar menegaskan sokongan terhadap cadangan gencatan senjata selama 60 hari yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat dan diusahakan oleh Mesir dan Qatar selaku perantara itu, namun mengingatkan agar jeda tersebut tidak disalahgunakan sebagai taktik ketenteraan.

Malaysia turut menuntut agar akses kemanusiaan yang tidak terhalang segera dibenarkan bagi mengelakkan kebuluran besar-besaran di Gaza.

Selain itu, Malaysia juga kekal komited terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak penentuan nasib sendiri dan pembentukan negara berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, selain menggesa agar Palestin diberikan keahlian penuh dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

MASNIZA AWANG KECHIK