KUALA LUMPUR, 4 Julai- Malaysia kekal komited memperkukuh hubungan dua hala dengan Kanada, merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu.
Kenyataan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menerusi panggilan telefon.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Carney atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Persekutuan Kanada, baru-baru ini.
“Saya menyambut baik penglibatan berterusan Petronas dalam projek LNG Canada, yang merupakan simbol kukuh kerjasama tenaga di antara kedua-dua negara dan berpotensi menjadi pemangkin kepada inisiatif hijau dan peralihan tenaga masa depan,” kata Datuk Seri Anwar dalam kenyataan di Facebooknya.
Tambah Datuk Seri Anwar, sebagai anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia dan Kanada berkongsi tekad memperjuangkan prinsip perdagangan bebas, terbuka dan berasaskan multilateralisme yang adil serta inklusif.
Beliau turut berharap agar Kanada dapat mempertimbang semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia, selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain, demi memperkukuh hubungan antara rakyat dan memperluas pertukaran pelbagai hala.
“Kami juga menegaskan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada, dan berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dapat dimuktamadkan secepat mungkin demi manfaat bersama,” jelas Datuk Seri Anwar.
Perdana Menteri turut menjemput Carney untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia, bagi memperkukuh ikatan persahabatan antara kedua-dua negara.