
MANILA, 15 November -Malaysia kekal dengan dasar luar bebas dan terus menjalin hubungan dengan semua negara, termasuk Amerika Syarikat dan China.
- ASEAN perlu bijak mengimbangi hubungan dengan kuasa besar melalui prinsip Pemusatan ASEAN.
- Setiap pelaburan asing mesti mematuhi dasar negara dan melindungi kepentingan nasional.
- Akta Perkhidmatan Parlimen memperkukuh kebebasan badan perundangan dengan memindahkan pentadbiran kepada Parlimen dan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu penting dalam menghadapi persaingan kuasa besar dan ketidaktentuan geopolitik dunia.
Jelas beliau, ASEAN juga perlu bijak mengimbangi hubungan dengan semua kuasa besar menerusi prinsip Pemusatan ASEAN.
“Kerana bagi negara yang kecil atau sederhana kita perlu bijak mengemudi keadaan dalam tempoh sukar ini kerana apabila berdepan ketidaktentuan, tiada jaminan bahawa kita akan mendapat sokongan daripada semua pihak,” katanya pada majlis makan malam bersempena dengan lawatan kerjanya menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, di sini malam ini.
Pada masa sama, setiap pelaburan asing perlu mematuhi dasar negara dan melindungi kepentingan nasional.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen menjadi langkah penting dalam usaha memperkukuh kebebasan badan perundangan.
Menerusi akta itu, struktur pentadbiran yang sebelum ini berada bawah Perdana Menteri dan jentera kerajaan dipindahkan kepada Parlimen serta Yang
Dipertua Dewan Rakyat.
Beliau menyifatkan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen sebagai reformasi besar yang melibatkan kesediaan pihak eksekutif melepaskan kuasa ke atas pentadbiran Parlimen.
“Tidak ramai pemimpin yang bersedia untuk memindahkan kuasa sedemikian Akta Perkhidmatan Parlimen membawa maksud bahawa kuasa yang sebelum ini berada di tangan Perdana Menteri dan kerajaan diserahkan kepada Dewan Rakyat,” katanya.