RUU pemakanan, lombong kripto haram antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 November – Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan, perlombongan mata wang kripto haram serta peluasan infrastruktur stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), antara isu yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan menambah baik keselamatan dan respons kecemasan di semua STOLports Sarawak selepas nahas helikopter di Long Lellang dipertikai
  • Menteri Kewangan membentang RUU Kewangan 2026 dan RUU Cukai 2026 untuk bacaan kali pertama
  • Perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa disambung hingga 26 Nov, sesi Parlimen berjalan sehingga 8 Dis

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Rodziah Ismail (PH-Ampang) meminta Menteri Kesihatan menyatakan garis masa RUU itu akan digubal bagi mengawal pengambilan nutrisi rakyat pada sesi soal jawab lisan.

Beliau juga ingin tahu perincian objektif, skop utama cakupan, kos keseluruhan dan mekanisme untuk memastikan penglibatan pakar kesihatan, pemain industri, badan bukan kerajaan, masyarakat dan pihak berkepentingan lain dalam proses penggubalan dan pelaksanaan RUU itu.

Pada sesi sama, Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mahu Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa perlombongan mata wang kripto berleluasa secara haram di daerah Manjung, Perak serta sebab pengusaha perlombongan itu sukar ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) pula bertanyakan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai perancangan kementerian memperluas infrastruktur stesen pengecasan EV ke kawasan luar bandar dan pekan kecil bagi merangsang penyerapan teknologi hijau.

Turut tersenarai, soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) kepada Menteri Pengangkutan mengenai tindakan menambah baik pengurusan keselamatan dan respons kecemasan pada semua short take-off and landing airports (STOLports), yang beroperasi di Sarawak susulan kejadian helikopter yang terhempas di Long Lellang pada 8 September lepas.

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan RUU Kewangan 2026 dan RUU Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2026 oleh Menteri Kewangan untuk bacaan kali pertama.

Usai itu, Dewan Rakyat menyambung semula perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan 2027) peringkat jawatankuasa serta jawapan yang dijadual daripada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan.

Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa berlangsung hingga 26 Nov, dengan 16 kementerian lagi akan menyelesaikan sesi penggulungan masing-masing.

Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15 diadakan selama 37 hari hingga 8 Dis ini. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.