PUTRAJAYA, 2 Oktober - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah serta kekerasan rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini menyifatkan, tindakan tanpa provokasi itu sebagai pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim, kemanusiaan dan hak asasi manusia.
Malaysia menuntut pembebasan segera serta tanpa syarat semua aktivis, petugas kemanusiaan dan anak kapal flotila termasuk 12 rakyat Malaysia, selain pelepasan kapal serta penghantaran bantuan ke Gaza tanpa halangan.
Menurut kenyataan itu, Global Sumud Flotilla adalah misi sah dan aman bagi menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin yang kini berdepan genosid, kebuluran serta krisis kesihatan yang meruncing.
Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera menghentikan kekejaman Israel serta memastikan pihak terbabit dipertanggungjawab atas jenayah tersebut.
Negara ini menegaskan masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berkompromi dengan pengabaian terang-terangan Israel terhadap norma sejagat, sebaliknya perlu menegakkan undang-undang serta keadilan.
Malaysia kekal konsisten menyokong usaha mencapai penyelesaian menyeluruh dan berkekalan, termasuk penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.