KUALA LUMPUR, 16 Mac- Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas kem Al-Nuseirat di Gaza, Khamis lepas.
Menurut Wisma Putra, serangan tidak berperikemanusiaan itu menyebabkan lapan rakyat Palestin terkorban dan mencederakan lebih 20 lagi yang merupakan petugas.
"Petugas tersebut sedang melakukan persiapan untuk mengagihkan bekalan makanan yang diperlukan dan disumbangkan oleh rakyat Malaysia melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan untuk Rakyat Palestin (AAKRP) dan diuruskan oleh Ops Ihsan (gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia).
"Tindakan keganasan Israel terhadap orang awam yang tidak bersalah jelas mengabaikan hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Serangan terhadap penduduk Palestin juga merupakan satu pencabulan besar terhadap hak asasi mereka untuk hidup dengan aman, selamat dan tenteram," menurut kenyataan itu.
Wisma Putra juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dengan segera dan tegas serta meminta Israel bertanggungjawab ke atas perbuatan itu.
Malaysia tetap berpegang teguh dengan prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.