PUTRAJAYA, 7 Mei- Negara kehilangan RM277 bilion akibat rasuah dalam tempoh lima tahun lalu.
Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kerugian itu berdasarkan anggaran kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari tahun 2018 hingga 2023.
"Angka yang cukup besar ini sewajarnya boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek terutamanya pelaksanaan projek sosial seperti baik pulih hospital dan sekolah."
"Malangnya, nilai ini tiris akibat jenayah rasuah," kata Tan Sri Azam ketika berucap pada Majlis Pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028 di PICC, di sini.
Jelasnya, NACS yang dilancarkan perlu memberi impak dan dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan metodologi bagi mengenal pasti bidang yang terdedah kepada risiko terkini rasuah dalam negara.
Antaranya adalah melalui dapatan penyelidikan sektor-sektor yang cenderung kepada rasuah, salah guna kuasa, ketirisan, penyelewengan dan kelemahan pentadbiran serta tatakelola yang telah dibentangkan dalam Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah, tahun lalu.
Dalam pada itu, SPRM tidak berhasrat untuk menahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu pengisytiharan harta.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ia kerana siasatan terhadap negarawan itu masih berjalan.
"Setakat ini, tiada lagi. Kita tidak berhasrat untuk menahan beliau susulan siasatan masih dijalankan," kata Tan Sri Azam kepada pemberita selepas Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di PICC, di sini.
Tan Sri Azam sebelum ini mendedahkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad antara individu berprofil tinggi yang disiasat SPRM.
Siasatan dilakukan berhubung pengisytiharan harta yang mendorong kedua-dua anaknya, Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mohkzani Mahathir diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.