Malaysia dijamin laluan selamat, sebuah kapal tinggalkan Selat Hormuz

Foto X Kedutaan Iran di Malaysia

PUTRAJAYA, 7 April – Kementerian Luar mengesahkan salah sebuah daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz telah diberi laluan selamat dan kini menuju ke destinasi ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha diplomatik berterusan kerajaan di peringkat tertinggi menghasilkan perkembangan positif.
  • Perbualan telefon konstruktif pada 26 Mac 2026 antara Perdana Menteri Anwar dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian.
  • Malaysia kekal komited kepada kebebasan navigasi, keselamatan maritim dan dialog diplomatik sebagai asas menangani cabaran serantau.

Perkembangan positif ini adalah hasil usaha diplomatik berterusan kerajaan Malaysia di peringkat tertinggi.

Antara langkah penting termasuk perbualan telefon yang konstruktif pada 26 Mac 2026 antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian.

Selain itu, komunikasi dua hala turut diperkukuh melalui perbincangan antara Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatannya dari Iran, Abbas Araghchi bulan lalu.

“Malaysia kekal komited terhadap prinsip kebebasan navigasi dan keselamatan dalam laluan maritim selaras undang-undang antarabangsa,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, kerajaan menegaskan kepentingan dialog berterusan dan penglibatan diplomatik sebagai asas menangani cabaran serantau.