
SUBANG JAYA, 25 Februari -Malaysia merupakan contoh terbaik amalan perpaduan apabila semua masyarakat majmuk yang terdiri pelbagai agama dan bangsa berjaya hidup secara aman.
- Malaysia sebagai contoh keharmonian hidup masyarakat majmuk tanpa mengorbankan identiti agama masing-masing.
- Al-Quran dijadikan panduan menyeluruh membentuk akhlak, keadilan, maruah dan belas kasihan dalam masyarakat.
- Perpaduan terhasil melalui pembentukan watak, keikhlasan dan kebijaksanaan, bukan paksaan atau kekerasan.
- Kehadiran rumah ibadat pelbagai agama bersebelahan mencerminkan amalan harian hormat dan kerjasama antara komuniti.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, realiti tersebut selari dengan ajaran al-Quran yang mengiktiraf kepelbagaian sebagai satu ketetapan dan menjadikannya asas untuk membina kefahaman serta keharmonian, bukannya perpecahan.
Menurutnya, al-Quran bukan sekadar kitab ibadah, sebaliknya panduan menyeluruh bagi membentuk cara hidup, interaksi sosial dan nilai tadbir urus yang menekankan keadilan, maruah serta belas kasihan.
“Kesatuan tidak lahir melalui paksaan atau kekerasan, tetapi melalui pembentukan akhlak, keikhlasan dan kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan. Kejayaan sebenar diukur melalui watak dan nilai, bukan hanya pencapaian material,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Buku “The Quran and I” di sebuah universiti, di sini.
Hadir sama pada majlis itu ialah, Naib Canselor Taylor’s University, Profesor Barry Win.
Datuk Seri Fadillah turut menjelaskan bahawa al-Quran mengajar manusia bagi melihat persamaan kemanusiaan sebelum perbezaan latar belakang, agama atau budaya, sekali gus memperkukuh asas perpaduan dalam masyarakat majmuk.
Katanya, amalan hidup bersama secara harmoni telah lama menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak, dengan rumah ibadat pelbagai agama wujud bersebelahan dan digunakan dengan penuh rasa hormat.
“Di sesetengah kawasan, masyarakat saling membantu dan berkongsi ruang tanpa mengira perbezaan kepercayaan. Inilah bukti bahawa perpaduan di Malaysia bukan sekadar slogan, tetapi amalan harian,” katanya.
Sementara itu, penulis buku, Anas Zubedy menjelaskan, bukunya bukan bertujuan mempertahankan atau menjawab kritikan terhadap Islam, sebaliknya memberi penjelasan dari sudut kemanusiaan tentang bagaimana Islam dihayati dalam kehidupan seharian.
Mengulas konteks Malaysia, Anas berkata negara ini mempunyai keunikan tersendiri sebagai sebuah negara majoriti Muslim yang mengamalkan keharmonian antara agama dan budaya, dengan rumah ibadat pelbagai kepercayaan wujud secara berdekatan.
Katanya, kepelbagaian itu tidak melemahkan iman, malah mengukuhkannya, selaras dengan ajaran al-Qur’an yang menekankan nilai bersama, keadilan, amanah, harapan dan rahmat Tuhan.
“Malaysia mungkin tidak sempurna, tetapi kita mempunyai sesuatu yang jarang ditawarkan kepada dunia contoh bagaimana iman boleh wujud bersama dalam kepelbagaian,” katanya.