LAOS, 26 September- Malaysia mengemukakan cadangan kepada Laos untuk mewujudkan pasukan petugas bagi memperkukuh jaringan dua negara, termasuk usaha membekalkan tenaga kepada Kuala Lumpur.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan itu turut meliputi potensi pelaburan penjanaan kuasa dari Malaysia ke republik itu.
"Pasukan petugas itu akan diwujudkan dan ia akan diperincikan serta disempurnakan menerusi perjanjian persefehaman (MoU) apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada ASEAN tahun depan.
"Kalau semua terma itu dipersetujui semuanya memberi kebaikan kepada dua-dua negara," katanya.
Fadillah berkata demikian ketika mengulas mengenai pertemuan dua hala antara Menteri Tenaga dan Galian Laos, Phosay Sayasone yang berlangsung di luar Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-42 pagi tadi.
Berkenaan sidang pertama AMEM ke-42, beliau yang juga Naib Pengerusi Mesyuarat itu berkata, ASEAN komited untuk meneruskan kerjasama erat dalam kalangan negara anggotanya.
Antara tumpuan yang diberi perhatian ialah memperkukuh inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG).
"Persetujuan secara konsensus tadi ialah ACE (Pusat Tenaga ASEAN) diberi tempoh tiga bulan untuk membuat kajian, perincian dan kemudian mencadangkan kepada Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) untuk memberi panduan dan hala tuju.
"...bagaimana kita dapat memuktamadkan perkara itu tahun depan. Ia termasuk kaedah, kewangan, tadbir urus, perundangan berhubung kait dengan APG, rentas sempadan serta transaksi peraturan berhubung kait perkara tersebut," katanya dalam sidang media di sini.