Malaysia Airports nasihat penumpang semak status penerbangan ke Asia Barat

Sekatan ruang udara Asia Barat, penumpang diminta semak penerbangan.

SEPANG, 28 Februari – Penumpang yang merancang perjalanan ke Asia Barat atau transit melalui rantau berkenaan dinasihatkan menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semak status penerbangan dengan syarikat penerbangan sebelum berlepas ke Asia Barat atau transit melalui kawasan itu.
  • Sekatan ruang udara boleh menyebabkan kelewatan, perubahan laluan atau pembatalan berdasarkan penilaian keselamatan.
  • Gangguan boleh menjejaskan penerbangan susulan walaupun transit di luar rantau terjejas.
  • Kemas kini maklumat perhubungan dan rujuk Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan serta nasihat Kementerian Luar Negeri.

Malaysia Airports dalam kenyataan memaklumkan sekatan ruang udara di beberapa kawasan Asia Barat berpotensi menyebabkan kelewatan, perubahan laluan atau pembatalan penerbangan berdasarkan penilaian keselamatan syarikat penerbangan.

Walaupun masih terdapat penerbangan yang beroperasi, jadual dan laluan boleh berubah pada bila-bila masa bergantung kepada perkembangan semasa.

Gangguan bukan sahaja melibatkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malah penerbangan susulan ke destinasi terjejas walaupun melalui transit di luar rantau berkenaan juga berkemungkinan dikenakan sekatan.

Malaysia Airports bersama syarikat penerbangan akan terus memantau perkembangan semasa dan membantu penumpang yang terjejas.

Orang ramai turut digesa mengemas kini maklumat perhubungan serta merujuk Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia di bawah Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) selain nasihat perjalanan rasmi Kementerian Luar Negeri.