fb fb fb fb fb

Malaysia, Pakistan gesa tindakan konkrit hentikan penderitaan di Gaza

Anwar Ibrahim dan Muhammad Shehbaz Sharif/Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 6 Oktober- Malaysia dan Pakistan mengesa tindakan konkrit diambil bagi menamatkan penderitaan berpanjangan jutaan penduduk Palestin di Gaza, menamatkan konflik dan mencapai keamanan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan terhadap pendirian tegas Pakistan berhubung isu tersebut.

"Saya amat menghargai pendirian tegas Pakistan. Di Doha, kami bersama menyatakan bahawa seruan dan kenyataan semata-mata tanpa cadangan tindakan konkrit tidak mencukupi untuk menamatkan penderitaan jutaan rakyat di Gaza dan Palestin," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif di sini hari ini.

Anwar berkata, Malaysia memandang positif inisiatif keamanan 20 perkara yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, namun tetap mengekalkan beberapa kekhuatiran terhadap sebahagian kerangka cadangan tersebut.

"Sekurang-kurangnya ia menyeru supaya permusuhan dihentikan, bagi menamatkan pengeboman dan pembunuhan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis Israel di Gaza. Tuntutan ini kini jelas disuarakan oleh negara-negara Arab, negara Islam dan kebanyakan negara di dunia," katanya.

Selain isu Palestin dan Gaza, kedua-dua pemimpin turut membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa termasuk usaha keamanan di rantau India–Pakistan yang dianggap penting bagi kestabilan Asia Selatan dan dunia Islam.

Terdahulu, Shehbaz Sharif diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.

Beliau dan delegasi rasmi tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri.

Lawatan rasmi tiga hari pemimpin Pakistan itu dijangka memperkukuh hubungan dua hala sedia ada selain membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pembangunan teknologi.

SITI AISHAH BINTI MD ISA