ALOR SETAR, 6 Oktober - Agensi-agensi kerajaan (NADMA No. 1) Negeri Kedah kini dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi bencana banjir di negeri itu.
Polis Kedah dalam kenyataan memaklumkan bahawa Mesyuarat Koordinasi Operasi Banjir PDRM bersama agensi-agensi kerajaan (NADMA No.1) Negeri Kedah bertujuan untuk menyelaras dan memperkukuh kerjasama antara agensi terlibat dalam menghadapi situasi tersebut.
"Ia bagi memastikan kesiapsiagaan serta tindakan pantas dapat dilaksanakan sekiranya berlaku bencana banjir di Negeri Kedah.
"Ketika ini, beberapa daerah di Kedah seperti Kubang Pasu, Sik, Pokok Sena, Kota Setar dan Pendang dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak Jumaat lalu," menurut kenyataan itu.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Ketua Polis Kedah, Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Adzli Abu Shah di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kedah, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Baderulhisham Baharudin.
Turut hadir, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Polis Daerah serta wakil daripada Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, RELA Kedah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Hadir sama, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, dan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd.