
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Maklumat risikan yang diperoleh daripada agensi keselamatan serta perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara digunakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menilai tahap risiko di Asia Barat.
- MKN menilai maklumat yang diterima dan berbincang bagi membolehkan tindakan segera diambil.
- Jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menilai risiko dan menentukan langkah pemindahan rakyat Malaysia jika perlu.
- Kerajaan mempunyai pelan evakuasi bersama Kementerian Luar Negara; rakyat di luar negara diminta daftar e-Consular dan ikuti nasihat perjalanan.
Pengarah Bahagian Perisikan dan Pengurusan Krisis Negara, MKN, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohd Tarmizi Dan berkata, maklumat yang diterima akan dinilai dan dibincangkan bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“Kerajaan sentiasa berhubung rapat dengan agensi keselamatan serta perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara bagi mendapatkan input dan maklumat terkini.
“Situasi keselamatan juga bersifat dinamik, justeru penilaian yang lebih tepat perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya tindakan yang diambil sentiasa bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata, MKN juga menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai risiko dan menentukan tindakan yang sesuai sekiranya situasi keselamatan memerlukan langkah pemindahan rakyat Malaysia dari kawasan konflik.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan turut mempunyai pelan evakuasi yang telah digariskan bersama Kementerian Luar Negeri.
Menurutnya, pelan itu bagi memastikan setiap agensi memahami peranan masing-masing sekiranya operasi membawa pulang rakyat Malaysia perlu dilaksanakan.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang berada di luar negara dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan keselamatan serta mengikuti nasihat perjalanan yang dikeluarkan kerajaan.
Mereka juga digalakkan berdaftar dan sentiasa berhubung dengan kedutaan atau perwakilan Malaysia melalui platform e-Consular, bagi memudahkan pihak berkuasa menyalurkan maklumat dan bantuan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.