SAN FRANCISCO, 15 November- Maklumat salah dan palsu yang memudaratkan merupakan krisis semakin meningkat dan mencapai titik kritikal.
Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi mengekang perkata itu keperluan segera untuk campur tangan dan kerjasama antarabangsa perlu dilakukan.
"Syarikat teknologi, khususnya yang telah berkembang maju di Lembah Silikon menjalankan tanggungjawab penting sebagai penjaga komunikasi moden.
"Mereka ditugaskan dengan dasar pelaksanaan bagi menentang maklumat salah dan palsu sambil menegakkan hak kebebasan bersuara,"katanya.
Perdana Menteri menyampaikan syarahan khas bertajuk “Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific,” di University of California.
Sementara itu, pada sesi soal jawab , Datuk Seri Anwar menjelaskan Malaysia bukan sebuah negara yang condong ke arah China, namun secara geografinya negara itu sememangnya dekat dan menjadi rakan yang boleh dipercayai.
China adalah negara yang penting dan telah matang dari segi kerancakan ekonomi sekaligu membolehkan Malaysia mendapat manfaat.
"Kami tidak mempunyai isu untuk dibincangkan. China kekal rakan yang boleh dipercayai. Secara keseluruhannya Amerika Syarikat kekal sebagai nombor satu dari segi pelaburan.
"Bagaimanapun semakin hari China menjadi salah satu pelabur utama di Malaysia,"katanya.
Mengenai peranan Malaysia atau ASEAN di Laut China Selatan pula beliau berkata ASEAN ada membincangkan pendiriannya.
Secara idealnya mengambil kedudukan serantau pelbagai hala melibatkan China, Malaysia tidak berdepan dalam masalah kerana berjaya dari segi rundingan.
Bagaimanapun menurut Datuk Seri Anwar isu itu lebih sukar dalam pertindihan membabitkan Filipina dan Vietnam.
Justeru, pendirian ASEAN adalah memastikan ia kekal sebagai masalah serantau tampa campur tangan pihak luar.