KUALA LUMPUR, 28 Jun - Majlis kemuncak National Training Week 2024 (NTW 2024) bakal diadakan selama 2 hari di Stadium Bukit Jalil 29 dan 30 Jun ini.
NTW tahun ini bertemakan ‘Menginspirasikan Kecemerlangan Malaysia melalui Pembelajaran Sepanjang Hayat’ akan diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik.
Ketua Bahagian Komunikasi, Korporat dan Pemasaran HRD Corp, Hazrina Azizdin berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program NTW 2024 seperti Pancasains dari Petrosains, ‘EV Experience’ oleh Proton, pameran buku dan pameran virtual realiti, cara mengendalikan drone dan juga kursus keselamatan daripada pasukan bomba.
"NTW juga menawarkan kursus lebih daripada 460 kursus dalam kelas. Kita akan mengadakan kelas-kelas latihan di Bukit Jalil yang mana akan melatih dalam 2,000 orang.
"Ada juga kursus pemasaran digital yang dipenuhi macam mana untuk menghasilkan kandungan media sosial, kursus memajukan diri sama ada untuk peribadi, profesional, majlis dan kursus musik daripada komposer terkenal," katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, hari ini.
Program NTW inisiatif Kementerian Sumber Manusia(KESUMA) dan HRD Corp yang menawarkan lebih 60,000 kursus latihan percuma dan menyasarkan 200,000 penyertaan seluruh negara.