PUTRAJAYA, 1 Disember- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan peruntukan sejumlah RM5 juta bagi membantu penduduk terjejas banjir di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata sumbangan peringkat awal itu akan disalurkan kepada Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) serta majlis agama Islam negeri-negeri yang terkesan dengan banjir.
"Kita sarankan bila kita melaksanakan tanggungjawab zakat itu lebih awal. Dalam konteks pusat pungutan zakat (PPZ) sebagai agensi yang bertanggungjawab mengagihkan zakat ini, bila mana zakat itu dibayar diperingkat awal, kita boleh rancang lebih awal, sebab sekarang bila berlaku musibah-musibah, ia berlaku dalam keadaan yang kita tidak boleh jangka", katanya.
"Jadi, dengan bayaran zakat yang dibayar lebih awal itu, tanpa menunggu sehingga ke akhir tahun, ia akan membolehkan PPZ MAIWP dan juga MAIWP untuk melaksanakan tanggungjawab mengagihkan zakat ini kepada golongan yang memerlukan.
Beliau berkata demikian setelah menghadiri Majlis Karnival Year End Zakat (YEZ) X Pasar Saloma di Presint 3,Putrajaya.
Beliau turut menyeru umat Islam di Malaysia untuk segera menunaikan zakat bagi membolehkan bantuan berterusan disalurkan kepada golongan yang memerlukan, terutamanya mereka yang terkesan dengan musibah banjir.