
KANGAR, 9 Januari – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan RM8,439,900 untuk Bantuan Persekolahan 2026; manfaatkan seramai 12,057 pelajar asnaf di seluruh Perlis tahun ini.
- MAIPs menyalurkan RM8,439,900 untuk Bantuan Persekolahan 2026 kepada pelajar asnaf di Perlis.
- Seramai 12,057 pelajar asnaf di seluruh Perlis menerima manfaat bantuan tahun ini.
- RM3,207,400 diperuntukkan untuk pelajar sekolah menengah.
- RM5,232,500 diperuntukkan untuk pelajar sekolah rendah, setiap pelajar menerima RM700.
- Penyaluran melalui kerjasama MAIPs dan Jabatan Pendidikan Negeri dengan pemilihan penerima secara telus dalam talian.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, bantuan persekolahan itu adalah manifestasi keprihatinan berterusan MAIPs terhadap kebajikan pendidikan golongan asnaf, dalam usaha membantu meringankan bebanan kos persekolahan yang semakin meningkat.
“Daripada jumlah keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM3,207,400 diperuntukkan kepada pelajar sekolah menengah, manakala RM5,232,500 disalurkan kepada pelajar sekolah rendah dimana setiap pelajar menerima bantuan berjumlah RM700.
“Pendekatan agihan berstruktur itu bertujuan memastikan keperluan asas persekolahan, pembangunan potensi akademik serta pembentukan sahsiah pelajar asnaf dapat diperkukuh secara menyeluruh.
“MAIPs optimis bahawa usaha ini akan terus memperkukuh agenda pendidikan di Perlis, sekali gus memastikan kebajikan dan masa depan anak-anak asnaf terus terbela serta tidak tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan,” menurut kenyataan itu.
Simbolik penyerahan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di pekarangan Kompleks Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Bantuan terbabit disalurkan hasil kerjasama strategik antara MAIPs dan Jabatan Pendidikan Negeri, melibatkan pengurusan sekolah-sekolah di seluruh Perlis yang telah mengemukakan cadangan penerima bantuan dan disahkan menerusi sistem maklumat dalam talian bagi memastikan proses pemilihan dilaksanakan secara telus, berfokus dan menepati golongan sasar.