fb fb fb fb fb

MAIDAM Terengganu salur bantuan kepada penduduk terjejas banjir

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail (kiri) menyerahkan sumbangan kepada SUK Terengganu, Datuk Tengku Farok Tengku Abdul Jalil

KUALA TERENGGANU, 31 Disember- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu menyalurkan sejumlah RM3.5 juta bantuan kewangan melalui kerajaan negeri kepada penduduk terjejas banjir di negeri itu, tahun ini.
 
Sebahagian besar jumlah sumbangan bantuan yang bernilai RM2.0655 juta adalah Skim Bantuan Zakat di bawah Sinf Al-Gharimin MAIDAM.
  
Jelas Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, baki selebihnya berjumlah RM845,000 adalah sumbangan daripada empat agensi iaitu Yayasan Waqaf Malaysia, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
 
"MAIDAM hanya beri sumbangan melalui kerajaan negeri. Kerajaan negeri ada anggota-anggota yang cukup yang boleh mendapatkan maklumat dan data semasa. Antaranya, ada pegawai-pegawai daerah, pegawai daripada pelbagai agensi terlibat dan sebagainya.

Langkah yang kita laksanakan ini adalah kerana kita tiada pegawai-pegawai yang akan membuat agihan. Selain itu, kita bimbang jika kita yang beri, wujud isu pilih kasih dan isu-isu yang lain," kata Datuk Shaikh kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan MAIDAM kepada penduduk terjejas banjir kepada Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Tengku Farok Tengku Abdul Jalil di Wisma Darul Iman, di sini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu Datuk Nara Setia Datuk Zulkifli Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan.
 
Penerima bantuan terdiri daripada pemastautin tetap di Terengganu selama tidak kurang tiga tahun manakala kadar bantuan tertakluk kepada kesesuaian ditetapkan agensi yang menguruskan penduduk terjejas banjir terbabit, menerusi kaedah agihan secara berpusat yang diselaraskan kerajaan negeri.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM