SINTOK, 20 Mei – Mahasiswa Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) semester pertama sesi 2024/2025 yang menerima Anugerah Dekan bagi kecemerlangan akademik, dinasihatkan berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai kemahiran berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Dekan SMMTC, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad berkata, ledakan teknologi telah mengubah ekosistem industri media pada hari ini dan ia menuntut mahasiswa untuk terus berusaha menguasai pelbagai kemahiran digital yang boleh dimanfaatkan apabila menamatkan pengajian di universiti.
“Sebagai mahasiswa, pastinya anda sentiasa berusaha untuk mendapat keputusan akademik cemerlang. Namun, berdasarkan perkembangan semasa, pencapaian akademik cemerlang semata-mata masih tidak mencukupi dan perlu diimbangi dengan penguasaan kemahiran lain terutama berkaitan teknologi digital seperti AI. Penguasaan teknologi dan AI bukan sahaja membolehkan anda tersedia kepada pasaran industri, malah dapat membantu anda memulakan perniagaan media sendiri terutama ketika persaingan dalam pasaran tenaga kerja sangat sengit ketika ini.”
“Selain kemahiran itu, anda perlu juga mengimbangi pencapaian akademik dengan akhlak yang baik. Akhlak, etika dan adab yang baik ini sangat penting ketika kita menggunakan teknologi digital. Ini kerana, ruang siber dan teknologi digital juga tidak terkecuali daripada disalahgunakan seperti penyebaran berita palsu dan sebagainya. Bakal majikan juga boleh membuat penilaian awal hanya dengan meneliti kandungan-kandungan akaun media sosial anda dan apakah reaksi mereka jika mendapati kandungan tersebut sangat menjelikkan?,” jelas Dr. Mohd Khairie.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Dekan kepada 265 mahasiswa Ijazah Sarjana Muda untuk Program Komunikasi, Program Multimedia dan Program Teknologi Media SMMTC.
Mahasiswa terbabit berjaya mencapai keputusan akademik cemerlang ditetapkan iaitu 3.67 ke atas bagi Purata Mata Gred Semester (PMS) untuk menerima Anugerah Dekan.