
PUTRAJAYA, 15 Oktober – Penglibatan dua juta belia menerusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menjadi petunjuk positif golongan itu dalam meneruskan pembangunan sektor agromakanan negara.
- Penglibatan belia secara profesional dalam pertanian menjamin kesinambungan industri agromakanan.
- MAHA memberi inspirasi kepada anak muda untuk menceburi pertanian sebagai profesion sepanjang hayat.
- Inisiatif kerajaan memodenkan sektor melalui teknologi, inovasi dan penciptaan nilai tambah untuk keterjaminan makanan.
- Pelaburan dalam penyelidikan pertanian jangka panjang mampu dikomersialkan menjana pulangan ekonomi dan meningkatkan daya saing produk tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata angka penglibatan itu bukti bahawa sektor berkenaan mula diceburi secara profesional oleh kumpulan berkenaan, sekali gus memastikan kesinambungan industri agromakanan negara pada masa hadapan.
“Kejayaannya kita lihat bukan hanya di sudut angka kehadiran, angka jualan, angka MOU. Bagi saya kejayaan yang paling utama ialah meningkatnya penglibatan anak-anak muda terjun secara profesional ke dalam pertanian.
“Itulah kejayaan yang bagi saya amat membanggakan. Sebab pameran 10 hari ia akan habis. Tetapi apa yang dilihat di pameran itu membawa satu semangat kepada anak-anak muda untuk terus terlibat secara seluruh hidupnya dalam profesion terlibat ceburi bidang pertanian”, katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi MAHA 2026 di Putrajaya.
Datuk Seri Mohamad turut memaklumkan MAHA 2026 merupakan sebahagian inisiatif kerajaan untuk memperkukuh dan memodenkan sektor agromakanan melalui penerapan teknologi dan inovasi serta penciptaan nilai tambah selaras tema penganjuran program yang menekankan keterjaminan makanan.
Beliau berkata pelaburan dalam penyelidikan pertanian juga wajar dilihat sebagai usaha jangka panjang kerana hasil penyelidikan yang berjaya dikomersialkan berupaya menjana pulangan ekonomi, sekali gus meningkatkan daya saing produk agromakanan tempatan.