fb fb fb fb fb

MAFI bela petani terjejas banjir tahun ini

KUALA LUMPUR, 3 November- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedia bantuan kepada petani yang terkesan akibat banjir tahun ini, menerusi tabung bencana kementerian itu.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan memaklumkan peruntukan ini melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

"Terdapat dua kategori, pertama adalah khusus untuk tanaman padi iaitu dikenali sebagai Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dimana ia diberikan kepada pengusaha-pengusaha padi mengikut dua pecahan.

Pertama, sekiranya padi yang ditanam itu berumur kurang daripada 71 hari, jadi bantuannya adalah sebanyak RM876.00 sehektar dan bagi kawasan padi yang berumur lebih daripada 71 hari dan sebelum dituai, bantuannya adalah bernilai RM1,800 per hektar," kata Zahimi kepada pemberita RTM selepas menjadi tetamu di Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

Bagi Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) yang tidak melibatkan tanaman industri pula, beliau memaklumkan bantuan peruntukan melibatkan hingga 50 peratus daripada nilai kerosakan yang dialami berdasarkan laporan pasukan teknikal Jabatan Pertanian.

"Sekiranya kawasan mula dinaiki air atau tanaman sudah mula terjejas akibat banjir, petani hendaklah memaklumkan kepada pegawai kami atau boleh terus ke pejabat daerah untuk melaporkan jenis tanaman serta keluasan tanaman sebagai laporan awal kami dalam penyediaan peruntukan," tambahnya.

Jelasnya, bagi persediaan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda negara hujung tahun ini, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi terlibat bagi memaklumkan maklumat terkini selain menasihati serta membantu para petani bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.


(Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan)

Media Baharu