fb fb fb fb fb

Maahad tahfiz terbakar, 24 penghuni selamat

FOTO BOMBA SARAWAK

KUCHING, 20 Julai – Tingkat atas bangunan dua tingkat Maahad Tahfiz Husnul Khotimah di Jalan Semerah Padi musnah dalam kebakaran yang berlaku pukul 5.47 petang tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas, yang telah memusnahkan sepenuhnya tingkat atas bangunan berstruktur kekal tersebut.

Bagaimanapun, tingkat bawah bangunan berkenaan tidak terjejas.

Seramai 20 pelajar dan empat orang ustaz yang berada di premis ketika kejadian berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman secara ofensif dan defensif dengan menggunakan sumber air dari pam jentera serta pili bomba berhampiran.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 6.46 petang.

Turut berada di lokasi kejadian ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), SESCO, Baitulmal dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE