fb fb fb fb fb

MA63: KPM setuju 10 tuntutan pendidikan Sarawak

Gambar menunjukkan sekumpulan pelajar sekolah rendah pedalaman di Sarawak

KUALA LUMPUR, 13 September - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyatakan persetujuan sepenuhnya terhadap sepuluh tuntutan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam usaha memperkukuh kerjasama di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Persetujuan itu meliputi langkah mempertingkatkan pelibatan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dalam pelbagai aspek pembangunan pendidikan negeri.

Antara tuntutan yang dipersetujui termasuk kebenaran kepada Sarawak untuk mengambil guru secara Contract of Service (CoS), tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

"Selain itu, pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diberi perhatian khusus mengikut keperluan dan keutamaan negeri Sarawak.

"Kerajaan Sarawak juga akan terlibat dalam perancangan projek pembangunan pendidikan, selaras dengan aspirasi untuk menambah baik kualiti pendidikan di negeri tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

KPM turut memberi perwakilan kuasa kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak untuk meluluskan projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sarawak atau mana-mana pihak lain selain KPM.

Bagaimanapun, kelulusan tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

"KPM, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak berkerjasama erat bagi memastikan pendidikan di kedua-dua buah negeri dapat terus dipertingkatkan dalam ruang lingkup semangat kesatuan MA63," katanya.

Untuk rekod, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Bersama Pendidikan Persekutuan (JTBPP) Negeri Sarawak telah diadakan pada Februari lalu.

Manakala bagi Negeri Sabah, mesyuarat yang sama dijadualkan berlangsung pada Oktober 2024.

GRACE AISYAH KEDAYAN