
KUALA LUMPUR, 29 Januari – Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diperkukuh melalui pendekatan lebih tersusun dan berani, dengan pemantauan berterusan di peringkat tertinggi kerajaan.
- 13 tuntutan MA63 telah diselesaikan termasuk pengiktirafan jabatan teknikal negeri dan pindaan Akta serta ordinan berkaitan.
- Baki 16 tuntutan masih dirundingkan; beberapa di peringkat keputusan dasar, perbincangan, dan rujukan ke peringkat tertinggi kerajaan.
- Pengiktirafan jabatan teknikal negeri percepatkan projek bawah RM50 juta, disokong peningkatan belanjawan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) ditubuhkan bagi mempercepat proses rundingan dan penyelesaian tuntutan.
“Setakat ini, sebanyak 13 tuntutan telah diselesaikan, antaranya pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak serta Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
“Selain itu, pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah bagi penjanaan kuasa elektrik, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak turut diselesaikan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah mengenai manfaat langsung yang dijangka dirasai rakyat Sabah dan Sarawak hasil penambahbaikan struktur MA63.
“Baki 16 tuntutan masih pada peringkat rundingan, dengan satu daripadanya diselesaikan secara interim, dua mencapai keputusan dasar, lapan masih dalam perbincangan, dan lima dirujuk ke peringkat tertinggi kerajaan.
“Antara faktor kelewatan termasuk perbezaan tafsiran undang-undang, proses perundangan yang panjang, isu bidang kuasa bertindih serta kesiapsiagaan operasi kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, pengiktirafan jabatan teknikal negeri membolehkan projek Persekutuan bernilai bawah RM50 juta dilaksanakan terus oleh agensi negeri, sekali gus mempercepat pembangunan infrastruktur asas seperti jalan, saliran dan bekalan air di Sabah dan Sarawak.
Datuk Mustapha menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam memartabatkan hak Sabah dan Sarawak turut disokong oleh peningkatan belanjawan pembangunan 2026 sebanyak RM6.9 bilion dan RM6 bilion masing-masing kepada Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, pelaksanaan MA63 akan terus dipantau secara inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan, selari dengan usaha memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pembangunan negara.